Thursday, December 18, 2014

Kegagalan itu Menyakitkan

Teks & Image: Rahayu Abdul Rashid & Website Dr. Azizan Osman

Assalamualaikum & Salam Sejahtera;

Hari ini, saya ingin kongsikan artikel yang diambil daripada website Dr. Azizan Osman untuk kita kongsikan bersama. Saya telah pun membaca artikel ini di Facebook beliau. Mungkin anda masih belum membacanya? 



Saya Pn Juliana Baharin, berasal dari Negeri Sembilan. Kepakaran saya adalah membina jaringan perniagaan bersama Mydin Holding Berhad di dalam perusahaan Bakeri atas jenama Cookies Jazs. Saya bermula perniagaan secara formal ketika usia 18 tahun seusai SPM. Ketika itu, saya masih belajar dan menjalankan perniagaan Multi-Level-Marketing dan pendapatan saya sudah pun mencecah ke 5 digit sebulan. Saya adalah seorang yang sentiasa berusaha keras dan gigih untuk mencapai kejayaan di dalam segala lapangan kerjaya. Ketika usia 23 tahun, dengan sedikit modal dari ahli keluarga dan diri sendiri, saya memberanikan diri untuk membuka sebuah cafe di Plaza Safuan, Chow Kit.

Tanpa ilmu dan hanya berbekalkan semangat, saya dapat bertahan selama satu tahun. Pelbagai dugaan datang dan cabaran di dalam menerajui sebuah perniagaan yang akhirnya telah musnah dan ranap. Ketika itu juga, saya beralih ke lapangan profesional iaitu melibatkan diri sebagai Perunding Kewangan di mana saya telah berjaya memiliki pelbagai anugerah dari institusi bank berkenaan. Dan saya berjaya mencapai cita-cita untuk menjadi jutawan sebelum umur 30 tahun.

Kemewahan demi kemewahan saya perolehi. Kejayaan demi kejayaan saya miliki. Diri di kelilingi ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai yang sentiasa menjadi dorongan untuk mencipta kejayaan demi kejayaan. Tetapi, langit tidak selalunya cerah. Saya telah terjebak di dalam satu penipuan yang mana saya kehilangan segala-galanya.

Harta dan kereta mewah yang dimiliki terpaksa dijual demi meneruskan kelansungan hidup. Ketika inilah, saya lebih mengenali siapa yang akan ada di saat duka dan musibah datang menerpa. Siapakah yang akan sentiasa membantu di kala kesusahan melanda. Sahabat-sahabat karib telah menghilangkan diri dan menjauhkan diri dari kami.

Saat yang paling menyedihkan ketika diri saya hampir dimufliskan kerana menanggung beban hutang yang bukan kami pinta. Pelbagai titik hitam ditempuhi dengan redha dan sabar. Berat bahu kami memikul. Hanya Allah tempat kami bermohon.

Siapakah yang patut untuk kita mengharapkan selain dari Yang Maha Besar? Dialah tempat untuk saya dan suami mengadu. Dialah jua tempat di kala musibah datang menerpa. Kami nekad untuk bangkit dari zaman kegelapan dan kegagalan demi anak-anak yang masih kecil. Kami masih meneruskan beberapa buah perniagaan antaranya bersama dengan sebuah syarikat tudung dan perniagaan batik.

Bermulalah era saya dan suami seia sekata untuk menimba ilmu bersama Dr Azizan Osman. Bermulanya dari IJI, AMP dan perubahan mendadak berlaku ketika habisnya program IMKK dan RKMJ. Nekad kami untuk memulakan langkah perniagaan secara korporat. Ketika itu juga saya sudah mula membina perniagaan cookies dari rumah sahaja. Pendapatan bulanan ketika itu telah pun mencecah ke 5 angka sebulan. Dan ketika mendapat tempahan wedding gift dan pelbagai tempahan dari jabatan korporat, kami memberanikan diri berpindah ke bangunan kedai agar dapat melebarkan lagi sayap Jazs.

Alhamdulillah, Allah maha mendengar rayuan hambanya yang dikhianati. Hanya dalam tempuh beberapa bulan, jiwa dan semangat kami memberontak untuk mendapatkan peluang perniagaan di dalam pasaraya MYDIN yang ketika itu masih dalam pembinaan berhampiran kawasan perumahan kami. Inilah turning point kami yang berlaku sekelip mata. Berbekalkan pengalaman di dalam membentangkan kertas kerja dan semangat tidak kenal erti putus asa, kami dan team Jazs telah berjaya dipilih menjadi rakan strategik bersama Mydin Holding di dalam bidang bakeri. Pelbagai tapisan demi tapisan kami lalui untuk berjaya ke peringkat ini.

Pada Disember 2013, Jazs Bakeri telah berdiri dengan megahnya di dalam pasaraya MYDIN cawangan Seremban 2. Bakeri Jazs yang kedua telah pun berada di MYDIN Cawangan USJ Subang pada Julai 2014. Cawangan yang ketiga di Mydin Cawangan Gong Badak Terengganu dibina pada November 2014.

Yang terkini di Johor Bahru dijangka pada awal tahun 2015. Tiada pahit, tiada kelat, tiada sakit yang perlu diungkapkan kerana Allah lebih mengetahui betapa peritnya kami untuk berada di tahap sekarang. Sehingga kini, saya dan suami masih meneruskan pengajian bersama Dr Azizan Osman di dalam membina syarikat Jazs agar Syarikat Jazs berdiri sama tinggi dengan syarikat besar di luar sana.

Syukur Allah memberi jalan yang lebih baik pada kami untuk meneruskan kehidupan. Kini jualan bulanan Jazs meningkat sehingga mencecah ke RM300,000 sebulan. Hanya Allah yang lebih mengetahui akan segala pahit maung yang kami lalui. Dan DIA gantikan yang lebih baik agar kami tidak lupa padaNya.

Terima kasih kepada seluruh ahli keluarga, bonda yang sentiasa mendoakan anaknya, team Mydin Holding Berhad dan mentor kesayangan ramai Dr Azizan Osman di atas perkongsian ilmu demi ilmu demi meningkatkan martabat ekonomi anak-anak bangsa Melayu.

Nasihat kami, kejayaan tidak datang bergolek. Usaha dan tekadkan hati dengan penuh keazaman. Jatuh bukan bererti kalah, gagal bukan bererti tewas. Insya Allah, kejayaan luar biasa akan tiba jua dengan ilmu, doa dan tindakan. Sebab itu semua orang perlu beri peluang kepada diri sendiri untuk hadir sesi seminar bersama Dr. Azizan Osman kerana Insya Allah anda akan dapat pelajari sesuatu yang mungkin akan merubah hidup dan tahap kewangan anda.

Layari www.AzizanOsman.com untuk maklumat tentang program-program seminar Dr. Azizan Osman dan www.SKPD2015.com untuk Seminar Kuasai Potensi Diri 2015 yang bakal berlangsung.



Semoga perkongsian ini bermanfaat kerana mungkin anda juga seperti saya sedang merangka perancangan tahun 2015 atau sedang berusaha untuk bangkit daripada kegagalan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...