Thursday, October 2, 2014

Harga Minyak Naik Lagi! Apakah Peranan Surirumah dalam Membantu Ekonomi Keluarga?

Teks: Rahayu Abdul Rashid
Image: Google


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ini, bermulalah kenaikan harga minyak Petrol dan Diesel  yang mengundang pelbagai reaksi daripada kebanyakan pihak. Malam tadi, pasti setiap stesen minyak bersusun menerima pelanggan yang mengisi penuh tangki kenderaan masing-masing! Berapa hari mampu bertahan dengan isian penuh tersebut?


Walaupun kenaikan harga cuma 20 sen/liter, tapi ia pasti memberi impak yang besar kepada harga barang. Apabila kenaikan harga barang berlaku, kos sara hidup pun kian meningkat.


Tambang bas dan van sekolah pun MUNGKIN akan naik juga. Kalau hanya seorang anak bersekolah seperti kami, kira masih OK lagi. Tapi bagaimana kalau anak 3, 4, 5 orang? Kalau seorang katakan RM80 seperti anak kami (sekolah Agama dan Sekolah Kebangsaan), cubalah kita kira kos tambang bas/van untuk beberapa orang anak. Ia sangat terkesan!


Walaupun kita disarankan untuk berjimat cermat, namun setakat mana kita mampu melakukannya, atau dengan bahasa mudahnya: "celah mana lagi nak berjimat, kalau harga barang naik melambung-lambung... takkan nak makan ubi kayu rebus kot... ubi kayu pun mahal sekarang ni". Begitu saya bagi contohnya.


Kepada yang berpendapatan tinggi, ia tidak memberi apa-apa kesan. Tetapi bagaimana dengan golongan sederhana dan yang berpendapatan rendah. Kehidupan pasti kian terhimpit. Tekanan daripada segi kewangan secara tidak langsung menyumbang kepada tekanan dalam diri dan keluarga. Ia melahirkan seorang individu, keluarga dan masyarakat yang tidak sihat daripada segi emosi dan fizikal.


Tapi, walau bagaimana kita mengeluh, marah, kecewa dan tidak berpuas hati sekalipun, kita sebagai rakyat jelata hanya perlu akur sahaja. Bak kata pepatah umpama anjing menyalak bukit. Ia tidak memberi apa-apa kesan pun, malah kita yang sakit tekak sedangkan keadaan tak berubah pun!



Sebagai surirumah, apakah peranan kita dalam membantu ekonomi keluarga?


Jika pendapatan tunggal sahaja daripada suami, kita pasti merasa kesan kenaikan harga barang. Memasak setiap hari tanpa makan di luar langsung? Tukar produk harian seperti pencuci pinggan, sabun basuh, mandian, syampu, ubat gigi dan sebagainya kepada yang lebih murah? 


ATAU... 
Membantu suami dengan bekerja dari rumah seperti menjahit, membuat/menjual makanan, kuih-muih atau menjalankan perniagaan online berasaskan produk dropship, MLM, dan sebagainya. 


Sebenarnya kita ada pilihan. Kita perlu bijak ambil peluang di dalam masalah yang kita hadapi. Jika kita berkeluh-kesah pun, tiada apa yang akan berubah. Kita yang perlu ubah diri kita. Berani ambil tindakan. Jika kita mampu jana pendapatan dari rumah walau hanya RM300 - RM1,000 sebulan, itu sudah memadai daripada tiada langsung!


Untuk itu, pilihan yang kita ada sekarang adalah:
1. Berjimat-cermat
2. Tambah sumber pendapatan

Mana satu pilihan kita? Tepuk dada - semak poket masing-masing!


Sehingga berjumpa lagi. Wassalam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...