Bisnes Online| Bina Tapak Terlebih Dahulu

Teks: Rahayu Abdul Rashid
Image: Google


Assalamualaikum.
Selamat memulakan minggu baru pada minggu terakhir sebelum kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Saya pasti, ramai yang sedang menggandakan ibadah sebagai persediaan menyambut bulan mulia itu nanti yang dijangkakan pada hari Ahad 29 Jun 2014.


Dalam kita berbicara tentang persediaan menyambut bulan Ramadhan dan semestinya Syawal, saya ingin berkongsi sedikit ilmu berkenaan Bisnes Online. Mungkin apa yang akan saya kongsikan hanyalah perkara asas sahaja, namun saya berharap agar ia memberi manfaat kepada kita bersama.



Apabila kita membincangkan isu berkaitan Bisnes Online, kita pasti terbayang medium pemasaran di internet seperti gambar di atas. Dan yang terkini pemasaran online menggunakan Instagram perlahan-lahan mengambil alih kedudukan Facebook kerana Facebook semakin mengetatkan peraturan dan kos Facebook Advertising semakin mahal. 


Namun begitu, Blog adalah medium yang masih kekal relevant sebagai sumber untuk berkongsi maklumat, mendapatkan maklumat dan semestinya sebagai pusat membina tapak perniagaan dan memperkenal diri usahawan online/offline di dalam dunia perniagaan.


Membina tapak di dalam bisnes online adalah sangat penting. Kita memerlukan ilmu, pengorbanan dari segi tenaga dan masa. Ramai yang beranggapan bahawa untuk berjaya dalam bisnes online hanya mengambil masa yang pendek untuk dikenali dan berjaya. Malah, ada juga yang berangan-angan untuk menjadi jutawan segera! Sebab itulah, ramai yang terpengaruh untuk menyertai skim-skim pelaburan mudah atau bisnes yang tidak diketahui syarikat atau tiada produk. 


Saya ingin memberikan contoh yang mudah. 

Kita pasti tahu telah ramai blogger yang membina nama yang kukuh dalam dunia blogger dan bisnes. Pada asalnya mereka berblog sebagai hobi atau mengisi masa lapang. Mereka mungkin berkongsi tentang diri, keluarga dan kehidupan mereka. TETAPI, apabila mereka telah mempunyai ramai pembaca setia, mereka mula mendapat tajaan daripada peniaga lain, syarikat pengiklanan atau pengeluar produk. Ramai juga antara mereka yang mula menjalankan bisnes online. 


Mereka lebih mudah untuk mendapat pelanggan kerana mereka 'telah dikenali' dan pembaca mempercayai mereka kerana merasa blogger tersebut 'dekat' dengan mereka. Contoh blogger yang terkenal dan menjalankan bisnes online ialah Sepet, Cikepal dan Red Mummy.


Bagaimana mereka bermula? Berapa lamakah masa yang mereka ambil untuk berblog sehingga dikenali ramai? Pasti ia memakan masa bertahun-tahun! saya mengetahuinya kerana saya pembaca blog mereka sejak bertahun-tahun lamanya. Saya mengikuti perkembangan diri mereka, bagaimana mereka bermula sehinggalah mereka menjana pendapatan melalui bisnes online dan juga mendapat tajaan pengiklanan daripada pelbagai produk dan syarikat.


Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah jika kita baru membuat beberapa entry blog, baru beberapa kali berkongsi mengenai produk atau bisnes yang kita jalankan di medium internet yang lain janganlah kita berharap berduyun-duyun orang akan membeli produk dengan kita. Jika ia berlaku, syukur alhamdulillah! Jika sebaliknya, jangan putus asa. Jangan hanya tahu merungut atau lagi teruk menyalahkan orang lain. Bisnes kita adalah tanggungjawab kita. 


Akhir sekali, bina tapak terlebih dahulu. Perkenalkan diri kita. Perkenalkan produk/bisnes yang kita jual dan jalankan. Berkongsi manfaat serta kelebihan produk. Jual 'value' produk terlebih dahulu, barulah kita dapat memjual produk kita. Kerana pengguna semakin bijak memilih. Be yourself and be unique! Bila 'jenama diri' anda telah dikenali, anda boleh menjadi seperti nama-nama blogger yang saya sebutkan di atas dan blogger lain yang sangat dikenali dan mampu menjana pendapatan dengan BLOG!


Sehingga berjumpa lagi. Wassalam.

Comments

Popular Posts