Monday, May 26, 2014

Cuti Sekolah Datang Lagi!

Teks: Rahayu Abdul Rashid
Image: Koleksi Peribadi

Assalamualaikum. 
Hari Rabu cuti sekolah pertengahan tahun akan bermula bagi beberapa buah negeri termasuk Selangor. Cepatnya masa berlalu, rasanya baru sahaja cuti sekolah bulan Mac lepas. 

Tapi, seperti biasa kami sekeluarga tak sabar hendak balik ke Besut. Nenek Jah sudah melambai-lambai Dania dan Hariz untuk balik kampung. 

Alhamdulillah, sejak tidak bekerja kami sentiasa balik ke kampung setiap kali cuti sekolah. Kalau ke Keratong tu, boleh dikatakan hampir setiap minggu balik sebab dekat sahaja. Besut pula, kenalah tunggu cuti panjang. Maklumlah jauh.

Keseronokan anak-anak bila pulang ke Besut! Mandi laut! Kalau boleh,bangun jer tidur terus hendak terjun ke dalam laut! Zaman kanak-kanak yang penuh keceriaan, biarlah mereka menikmatinya.


Jika saya pula? Sudah pasti seronok balik kampung bila bercakap tentang MAKAN!

Sekarang musim buah mangga! Sedapnya mencolek dengan kicap pedas-pedas. Makan pula secara beramai-ramai dengan mak dan adik-beradik juga anak-anak saudara. Siapa terliur tengok gambar ni? Sila maafkan saya :)


Ke mana destinasi percutian anda? 
Tidak kira ke mana jua kita menghabiskan cuti 2 minggu ini, namun semoga ia bermanfaaat dan dapat mengeratkan kasih sayang sesama keluarga.

Buat yang masih ada ibu bapa di kampung. Pulanglah. Jenguklah mereka. Walaupun mungkin setiap bulan kita kirimkan duit belanja dan doa yang tak pernah putus, namun ia akan lebih bererti sekiranya kita pulang menjenguk mereka bersama anak-anak.

Apabila telah tua, tiada yang lebih membahagiakan ibu bapa... melainkan dapat bersama anak-cucu. Hilai tawa dan tangisan cucu yang menggegarkan rumah ibu bapa adalah suara yang paling indah buat mereka.

Hargai mereka. Mereka hanya datang 'sekali' sahaja dalam kehidupan kita. Buat yang bekerja makan gaji, ambillah cuti. Kalau fikirkan kerja, sampai bila pun takkan pernah habis.

Sehingga berjumpa lagi. Wassalam.

1 comment:

Kuazue Mohd said...

beh nya balik kampung !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...